Pembayaran Zakat Emas

Mengeluarkan zakat merupakan satu kewajipan bagi setiap umat Islam yang cukup  syarat. Namun sedarkah anda tentang pembayaran zakat emas? Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa emas juga tergolong dalam harta yang perlu dibayar zakat sama ada ia dimiliki sebagai perhiasan mahupun pelaburan.

 

Info Umum Zakat Emas

Hakikatnya, emas telah lama dikenalpasti dalam Islam sebagai harta berharga yang wajib dizakat.

Hal ini telah termaktub di dalam Al-Quran melalui Surah At-Taubah ayat 34-35 iaitu

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Malah, melalui hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda

“Siapa sahaja yang menjadi tuan punya emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat nanti akan disediakan kepadanya hamparan api yang dipanaskan oleh neraka. Dengan api itulah akan diselarkan rusuk dan belakangnya.”

Buat pengetahuan anda, emas yang dipakai sekurang-kurangnya sekali setahun tidak dikenakan zakat jika ia tidak melebih uruf (nilai pemakaian setempat) yang dibenarkan bagi sesebuah negeri pembayar zakat berdasarkan haul dan nisab zakat emas.

 

Siapa perlu bayar zakat emas?

Anda diwajibkan membayar zakat emas sekiranya anda merupakan;

1.  Pemilik emas perhiasan yang dipakai sebanyak 800 gram bagi penduduk Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

2.  Pemilik emas yang mempunyai emas perhiasan yang tidak dipakai sebanyak 85 gram

3. Individu yang membuat pelaburan emas (Patuh Syariah) dengan nilai yang menyamai atau melebihi nisab 85 gram.

4. Pelabur Emas Tidak Patuh Syariah seperti pelaburan akaun emas alam maya dan pelaburan akaun emas bukan fizikal iaitu kadar zakat dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja.

 

Cara-Cara Pembayaran Zakat

Anda boleh membuat kiraan kadar zakat menggunakan kalkulator zakat emas secara dalam talian di laman web Pusat Pungutan Zakat Maiwp https://www.zakat2u.com.my/kiraan/zakat/emas atau boleh terus pergi ke mana-mana cawangan Pusat Pungutan Zakat.

1. Zakat Emas Perhiasan

Umumnya, pengiraan zakat bagi emas perhiasan yang melebihi jumlah ‘uruf’ sebanyak 800gram (Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya) adalah seperti berikut;

Contoh

[(Berat emas – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%] = Jumlah Zakat

(900 gram – 800 gram) x RM260.00 = RM26,000.00 x 2.5% = RM650.00

*(Harga emas sekadar contoh)

 

2. Zakat Emas Simpanan / Pelaburan

Secara amnya, emas yang tidak digunakan sebagai perhiasan sama ada dalam bentuk barang kemas, matawang, jongkong, dan sebagainyanya akan dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah emas yang dimiliki tersebut sama atau melebihi nisabnya iaitu sebanyak 85 gram.

Contoh

(Timbangan emas x harga semasa x 2.5%) = Jumlah Zakat

100 gram x RM260.00 = RM26,000.00 x 2.5% = RM650.00

*(Harga emas sekadar contoh)

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan zakat emas anda boleh layari laman web rasmi Pusat Pungutan Zakat Maiwp

Jangan lupa kewajipan berzakat anda!

Jika bermanfaat, jangan lupa share!