RAMAI yang bersetuju bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, diikuti dengan perlaksanan Sekatan Pergerakan Penuh adalah langkah terbaik yang diambil oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.
Penularan Covid-19 sudah ke peringkat sporadik yang mana punca jangkitan tidak diketahui. Malah telah muncul varian-varian yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.
Setuju atau tidak, akur saja. Ini melibatkan nyawa, bukan perkara main-main. Namun ketika kerajaan cuba mengimbangi faktor keselamatan dan kesihatan, sektor ekonomi perlu diberikan perhatian kerana ramai yang semakin ‘pokai’ sekarang.
Benar, dalam keadaan sekarang nyawa lebih utama tetapi ekonomi juga sangat perlu untuk kelangsungan hidup.
Sepanjang total lockdown, semua aktiviti sosial adalah dilarang dan bagi sektor ekonomi pula hanya sebahagian kecil sahaja dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.
Bagi penjawat awam, kesannya mungkin tidak begitu dirasai kerana mereka mempunyai gaji tetap.Bagi kakitangan sektor swasta termasuk yang berkerja sendiri, keadaan sekarang amat perit untuk survive. Ada yang kena potong gaji.Ada syarikat yang telah bungkus. Ada juga yang sedang nyawa-nyawa ikan menanti masa untuk ditutup.
Banyak perniagaan terjejas terutama peniaga kecil yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan harian, malah keluarga golongan B40 bergelut untuk meneruskan hidup.
Begitu juga dengan M40 tetapi golongan ini sering terpinggir daripada menerima bantuan kerajaan.
Kita semua pun tidak tahu sampai bila total lockdown akan dilaksanakan. Mungkin tempoh sehingga enam minggu lamanya.
Penguatkuasaan dibuat sejak 1 Jun lalu dan dijangka untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu Mungkin akan dilanjutkan lagi sekiranya kes harian Covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan. Setakat Khamis, jumlah kes harian masih mencatatkan 5,738 kes.
Bagaimana pula dengan nasib pekerja yang bekerja di sektor tidak essential? Tukang jahit, kerja kantin, kerja restoran, tukang gunting rambut pun nak makan juga. Golongan ini boleh diistilahkan ‘ada kerja baru ada gaji’.
Tak ada kerja mereka tak ada gaji. Bila tak ada gaji, macam mana mereka hendak menampung kehidupan?
“Sekarang kena cari sumber pendapatan lain asalkan dapat duit. Itulah nasib kami,” kata seorang rakan, Rosdi Lokman yang bekerja sebagai pemandu lori.
Golongan ini mungkin boleh bertahan dalam tempoh yang singkat, tapi bagaimana untuk jangka masa yang lebih panjang.
“Nak jual barang kemas, kedai emas pun tak beroperasi sebab tak termasuk dalam essential services. Nak gadai emas pun kedai gadai tak buka. Akhirnya terpaksa pinjam ah long untuk teruskan kehidupan,” kata Rosdi lagi.
Mengalir air mata
Simpanan juga semakin terhakis. Jumlah keluar lebih banyak daripada disimpan. Melihat buku simpanan bank umpama membaca novel cerita sedih, boleh mengalir air mata!
Ramai yang tidak dapat mencari pendapatan semasa total lockdown dan terpaksa bergantung kepada bantuan untuk meneruskan hidup. Tetapi sampai bila hendak mengharapkan bantuan saja.
Moratorium tanpa faedah, pengeluaran i-Sinar serta bantuan tunai antara yang perlu dipertimbangkan kerajaan untuk dilaksanakan semula bagi meringankan beban mereka.
Kerajaan juga boleh mewujudkan skim pemberian wang tunai kepada golongan tertentu termasuk mereka tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap.
Pakej rangsangan untuk rakyat yang diumumkan kerajaan sebelum ini hanya penyelesaian sementara dan Malaysia memerlukan strategi baharu untuk mengatasi permasalahan rakyat.
Kita semua berharap agar pandemik Covid-19 ini berakhir seberapa segera yang mungkin. JusteruPelan Pemulihan Negara diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh membawa negara keluar dari situasi pandemik Covid-19 dan seterusnya merangsang kembali ekonomi.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/144857/SUARA-SINAR/Analisis-Sinar/Ramai-yang-semakin-pokai
Sumber : Sinar Harian